Thursday 16 May 2013

Refleksi Minggu 5

             Kuliah minggu kelima bagi subjek Pengajaran dan Pendidikan Seni ini telah dikendalikan oleh Dr. Zuraidah Abdullah untuk kali pertama. Pada minggu tersebut, kami telah diajar tentang cabang-cabang falsafah dalam bidang pendidikan. Falsafah ini penting sebagai langkah awal untuk difahami dan diguna pakai sebagai seorang pendidik. Falsafah ini dapat memberi framework bagi menguruskan sekolah, kelas dan dapat mencari jawapan kepada beberapa persoalan tentang apa tujuan sekolah, bagaimana murid belajar dan sebagainya. 
             
             Minggu ini juga kami didedahkan tentang cabang falsafah tersebut seperti cabang Metafizik, Epistemologi, Aksiologi dan Logik. Metafizik secara umumnya berkaitan dengan sifat realiti, epistemolgi tentang sifat sifat semula jadi ilmu, aksiologi berkaitan aksi atau etika manakala logik  berkaitan pemikiran tepat yg menghubungkan idea dengan prosedur.

11 anjakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia


 Sebanyak 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah:

1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai.
4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan.
5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.
7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
8. Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan.
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
11. Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam. - UTUSAN


TEORI PEMBELAJARAN DAN BAGAIMANA KANAK-KANAK BERFIKIR DAN BELAJAR STRATEGI PENGAJARAN YANG SESUAI.

Behaviorisme / Kelakuan

  • Berdasarkan teori tindakbalas terhadap stimulus
  • Menggunakan strategi latihan berulang-ulang
  • Memberi ganjaran dan hukuman
  • Kelebihan - pengukuhan sehingga mendapat kelakuan yang diingini.
  • Kelemahan - tiada atau sedikit pemahaman
  • harus memberi latihan yang bermakna
Development / Perkembangan
  • melibatkan emosi, fizikal, sosial dan mental (kognitif)
  • melalui elemen perkembangan kognitif, terdapat empat peringkat menurut Jean Piaget iaitu sensori motor, pra operasi, operasi konkrit, dan operasi formal.
  • pra-operasi melibatkan penguasaan bahasa, vokabulari, pengkelasan, kuantiti, set dan nombor, simbol, berinteraksi dengan objek fizikal.
Bagaimana kanak-kanak berfikir dan belajar
    
             Kanak-kanak sudah ada pemahaman sendiri tentang dunia dan alam berdasarkan pengalaman serta pengamatan mereka. Contohnya, mereka mudah mengenal muka, makanan yang digemari seperti ayam goreng, makanan yang tidak digemari seperti sayur-sayuran, menangis apabila basah (kencing dalam lampin) dan sebagainya. Namun, mereka tidak akan sewenangnya menerima informasi baru begitu sahaja tetapi akan membuat intepretasi apa yang dilihat oleh mereka, didengar dan disentuh benda-benda yang telah mereka ketahui. Hal ini bermakna mereka akan menyiasat pengalaman baru dan membina idea sendiri.

            Oleh itu, satu strategi yang sesuai harus dipraktikkan agar mereka boleh mengalami sesi pengajaran yang berkesan. Guru seharusnya memberi cabaran baru dan satu situasi yang belum pernah dialami oelh murid-murid diperingkat ini. Contohnya, murid-murid diajar menggunakan objek dan membenarkan mereka bermain dengan menggunakan pancaindera mereka. Guru juga harus bersifat lebih fleksibal iaitu bijak mencampurkan strategi berlainan seperti memberikan ganjaran kepada mereka yang mencapai atau melebihi tahap maksimum sesuatu tugasan yang ditetapkan dan jika mereka membuat kesilapan dalam tugasan, mereka tidak harus diperlekehkan oleh guru tetapi diperbetulkan kesilapan mereka. Guru juga boleh memupuk semangat berpasukan jika murid diberikan peluang bekerja dalam satu kumpulan seperti menugaskan mereka menghasilkan sesuatu karya dari bahan terpakai secaraberkumpulan. Hal ini akan menambahkan juga nilai toleransi murid selain dapat menjana lebih banyak idea dan gabungan idea mereka memungkinkan mereka menghasilkan sesuatu yang lebih menarik.

Tuesday 16 April 2013

PENDEKATAN, KAEDAH, TEKNIK DAN STRATEGI

· KONSEP STRATEGI
o Kebijaksanaan memilih pendekatan
o Kecekapan merancang kaedah dan teknik
o Berdasarkan objektif / hasil pembelajaran
o Terdapar 4 strategi iaitu
§ Berpusat guru
§ berpusatkan murid
§ Berpusatkan tugasan
§ Berpusatkan bahan

PENDEKATAN
o satu set teori pembelajaran yang beraksiomatik dan diamalkan dalam pengajaran sesuatu mata pelajaran berdasarkan kepada objektifnya.

PENDEKATAN BERSEPADU
o gabungjalin ilmu,bahan yang interaktif,penerapan nilai

INDUKTIF
o dimulakan dengan contoh-contoh,kaji,perhati, analisis dan barulah dibuat generalisasi

DEDUKTIF
o dimulakan dengan memberikan teori,hukum, fakta,konsep,diikuti dengan contoh-contoh

EKLEKTIK
o gabungan antara induktif dan deduktif

TEMATIK
o mengajar sesuatu mengikut tema yang diberikan

·KAEDAH & TEKNIK
o cara untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
• Siri tindakan guru yang sistematik
• Berlandaskan pendekatan
• Cara capai objektif
• Rancangan langkah-langkah yang akan digunakan

o Berikut adalah contoh kaedah dan teknik
-Pembelajaran Melalui Permainan
-Main Peranan
-Sumbangsaran
-Bercerita
-Perbincangan
-Pembelajaran Masteri
-Tematik





STRATEGI, PENDEKATAN, KAEDAH DAN TEKNIK

STRATEGI

Strategi boleh diibaratkan sebagai suatu susunan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk mencapai sesuatu matlamat dengan menggunakan tenaga, masa serta kemudahan secara optimum. Dalam proses pengajaran pula, seseorang guru biasanya menggunakan gabungan beberapa pendekatan serta kaedah mengajar tertentu dalam usaha untuk mencapai objektif-objektif pengajaran. Rancangan gabungan pendekatan dan kaedah serta turutan pendekatan dan kaedah itu dilaksanakan merupakan strategi pengajaran. Konsep strategi pula merupakan kebijaksanaan memilih pendekatan serta kecekapan merancang kaedah dan teknik dalam satu- satu pengajaran berdasarkan objektif pelajaran yang telah ditelah ditentukan.

Dalam pengajaran pendidikan Seni Visual pula, guru-guru perlu bijak menggunakan strategi pengajaran dan pembelajaran untuk menarik minat pelajar. Guru-guru perlu membuat perancangan yang rapi, sistematik dan kreatif supaya pembelajaran tidak membosankan dan objektif pengajaran akan tercapai. Dalam membuat dan merancang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual, guru-guru perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam tentang strategi-strategi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini bertujuan untuk membolehkan guru-guru menjalankan pengajaran mereka dengan berkesan, manakala pelajar pula merasa seronok belajar pendidikan seni.

Beberapa jenis strategi pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan seni visual boleh digunakan oleh guru-guru untuk memastikan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam bilik darjah. Di antaranya ialah :
1. Pembelajaran masteri
2. Kajian masa depan
3. Konstruktivisme
4. Belajar cara belajar
5. Kecerdasan pelbagai
6. Pembelajaran akses kendiri
7. Kemahiran berfikir
8. Teknologi komunikasi dan maklumat (ICT)
9. Pembelajaran konseptual
10. Pembelajaran Kontekstual

Guru-guru perlu bijak memilih strategi yang sesuai dengan keadaan dan pengetahuan sedia ada pelajar-pelajar dalam kelas mereka. Melalui pemilihan strategi yang sesuai, pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan lancar, seronok dan objektif akan tercapai dengan mudah dan berkesan. Penggunaan strategi yang sesuai membolehkan pelajar-pelajar memahami isi pelajaran dengan mudah dan berkesan yang seterusnya memberi kebaikan kepada guru dan pelajar

Selain itu, guru-guru juga boleh menggunakan strategi berikut dalam menyampaikan pengajaran kepada pelajarnya. Strategi tersebut ialah:
1. Mencari jalan ke arah aktiviti yang berguna dan menyeronokkan yang membolehkan pelajar berkongsi idea serta dapat bercakap mengenainya.
2. Memahami dan menghormati idea, penerangan dan pemahaman pelajar-pelajar dengan cara mendengar, melihat dan memberi maklum balas.
3. Meninggalkan paradigma lalu dengan menyoal diri kita dan belajar daripada mereka melalui cara yang berbeza.
4. Melihat dan mendekati pelajar-pelajar ketika mereka sedang menjalankan aktiviti amali di samping membantu mereka secara individu atau kumpulan.
5. Berkongsi tentang apa yang telah pelajar-pelajar hasilkan melalui pendekatan dan personaliti mereka sendiri.

Peranan strategi pengajaran adalah lebih penting lagi jika guru mengajar pelajar-pelajar yang berbeza dari segi kebolehan, pencapaian, kecenderungan serta minat yang berbeza-beza. Guru perlu merancang pendekatan dan kaedah yang digunakan untuk mengajar kumpulan-kumpulan yang berbeza-beza itu. Guru perlu memikirkan strategi pengajaran yang terdiri daripada pelbagai kaedah mengajar untuk memenuhi keperluan semua kumpulan. Di samping itu, setiap bilik darjah mempunyai halangan serta rintangan-rintangan yang tersendiri seperti keadaan fizikal, kemudahan bilik darjah, nilai, norma serta latar belakang sekolah dan murid yang berbeza. Lantaran itu, seseorang guru bukan sahaja mesti menguasai berbagai-bagai kaedah mengajar tetapi lebih penting ialah bagaimana mengintegrasikan serta menyusun kaedah-kaedah itu untuk membentuk strategi pengajaran yang lebih berkesan dalam pengajarannya.

PENDEKATAN

Pendekatan biasanya dimaksudkan dengan arah atau hala yang kita ambil untuk menuju ke sesuatu sasaran. Pendekatan pengajaran pula merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, mata pelajaran atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Pendekatan-pendekatan pengajaran boleh digolongkan mengikut cara pengelolaan pelajar, cara-cara fakta disampaikan, keaktifan pengajaran atau pelajar, pengajaran bahasa dan pengajaran mata pelajaran lain. Terdapat beberapa ciri-ciri pendekatan dalam pengajaran yang telah lama diamalkan dalam sistem pendidikan ini. Ciri-ciri tersebut ialah:
a. Daripada konkrit kepada abstrak
b. Daripada mudah kepada kompleks
c. Daripada keseluruhan kepada bahagian
d. Daripada umum kepada spesifik (deduktif)
e. Daripada spesifik kepada umum (induktif)
f. Daripada diketahui kepada belum diketahui

Manakala pendekatan-pendekatan pengajaran ini juga terbahagi kepada beberapa bahagian. Antaranya
(i) Pendekatan pengajaran berpusatkan guru
(ii) Pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar
(iii) Pendekatan pengajaran berpusatkan bahan
(iv) Pendekatan induktif
(v) Pendekatan deduktif
(vi) Pendekatan inkuiri
(vii) Pendekatan masteri

Setiap jenis pendekatan itu mempunyai kaedah pelaksanaannya yang tersendiri. Bagi pendekatan berpusatkan guru, mereka boleh menggunakan kaedah-kaedah seperti syarahan, demonstrasi, bercerita serta pengajaran secara kelas. Pendekatan ini tidak memberi peluang kepada palajar untuk mengambil bahagian dalam sesi P&P. Mereka hanya mendengar sahaja apa yang disampaikan oleh guru. Manakala pendekatan berpusatkan pelajar lebih menarik dan berkesan. Dalam pelaksanaannya, pelajar berpeluang untuk mengambil bahagian serta memberi pendapat dan idea berkenaan dengan topik yang dipelajari. Pendekatan ini lebih berkesan kerana pelajar dapat menyampaikan apa yang ada dalam fikiran mereka. Antara pendekatan yang boleh digunakan ialah pendekatan kumpulan, pendekatan individu, kaedah lawatan, kaedah penyelesaian masalah, kaedah projek, simulasi dan bermain. Pelaksanaan pendekatan ini membuatkan pelajar lebih seronok kerana mereka mengalami sendiri pengalaman terlibat dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran itu.
Bagi pendekatan pengajaran berpusatkan bahan pula memerlukan guru untuk lebih kreatif dalam mencari dan menggunakan bahan-bahan pengajaran untuk menarik minat pelajar. Antaranya ialah melalui penggunaan sudut atau ruang bilik darjah, bahan pengajaran guru dan bahan pembelajaran pelajar. Guru-guru boleh menggunakan bahan-bahan seperti video, gambar, kertas mahjung, dan sebagainya bagi membuka minda serta menarik perhatian pelajar dalam menyampaikan isi pelajaran. Melalui tayangan video contohnya, pelajar-pelajar akan berfikir mengenai isi kandungan yang cuba disampaikan oleh guru mereka pada hari berkenaan.

Selain itu, pendekatan induktif, deduktif, inkuri dan masteri pula mempunyai maksud yang tersendiri. Keempat-empat pendekatan itu dapat diterjemahkan sebagai:
(a) Pendekatan induktif merupakan satu proses penaakulan yang tinggi di mana pelajar-pelajar tidak diajar sesuatu bahan pengajaran itu secara langsung, mereka hanya diberitahu berhubung hal-hal berkaitan dengan pelajaran tersebut.
(b)Pendekatan deduktif merupakan satu pendekatan mengajar murid kepada hukum-hukum tertentu dengan mengaplikasikan peraturan-peraturan yang telah diberikan untuk menuju ke suatu fakta.
(c)Pendekatan inkuiri- pelajar akan menjalankan penyelidikan tentang masalah yang hendak diselidiki. guru membimbing pelajar untuk mengutarakan soalan yang jawapannya boleh diperolehi melalui aktiviti yang telah pun dirancang sebelumnya.
(d)Pendekatan masteri- ujian diagnos dijalankan untuk memastikan pelajar menguasai sepenuhnya isi pelajaran, kemahiran atau sikap yang dinyatakan dalam objektif.



KAEDAH DAN TEKNIK

Menurut Kamus Dewan, kaedah bermaksud cara atau aturan (membuat sesuatu), hukum atau prinsip. Sesuatu kaedah terdiri daripada sesuatu siri tindakan yang sistematik dan tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat. Kaedah pengajaran pula terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan tertentu. Pengajaran yang dimaksudkan ialah segala aktiviti seseorang untuk menghasilkan perubahan tingkah laku yang agak kekal dalam diri seseorang yang lain. Lantaran itu, kaedah-kaedah pengajaran ini terbahagi kepada beberapa jenis. Ianya merangkumi:
• Kaedah terus
• Kaedah semulajadi
• Kaedah askar atau tentera
• Kaedah ajuk-hafaz
• Kaedah linguistik
• Kaedah oral-aural
• Kaedah terjemahan
• Kaedah psikologi
• Kaedah kod-kognitif
• Kaedah khusus

Menurut Salleh Mohd Akib (1975), kaedah terus ialah kaedah pengajaran secara perbualan untuk memperkenalkan bahasa kedua kepada kanak-kanak. Menurut Kamarudin Hj. Husin (1988), kaedah ini mengutamakan prinsip mengajar berdasarkan psikologi pelajar. Kaedah ini disampaikan berdasarkan empat perkara asas iaitu:
 Perhubungan secara langsung antara perkataan dengan benda atau ayat dengan fikiran atau sebaliknya.
 Pengajaran harus dikaitkan dengan pengalaman-pengalaman sedia ada.
 Timbulkan perasaan ingin tahu kanak-kanak melalui soalan-soalan yang telah dirancangkan.
 Mengutamakan bahasa lisan, tidak mempelajari undang-undang tentang bahasa yang hendak dipelajari, mengutamakan sebutan yang betul, ulangan dan pengukuhan harus dibanyakkan, dan mempelajari sesuatu yang mudah sebelum sesuatu yang kompleks.

Kaedah Semulajadi pula hampir sama dengan kaedah Terus. Pengajaran dimulakan dengan soalan-soalan yang berhubung dengan objek dan gambar. Perkataan-perkataan yang baru diterangkan dengan menggunakan perkataan-perkataan yang telah diketahui oleh murid. Terjemahan tidak langsung digunakan dalam kaedah ini. Manakala Kaedah Oral-Aural pula merupakan kaedah mendengar dan kemudiannya bertutur dengan menggunakan dialog untuk dihafaz dan diikuti secara ajukan. Latih tubi dan dialog dijalankan dalam cara yang realistic dengan memberi perhatian kepada intonasi yang betul. Seterusnya kaedah Linguistik yang membolehkan murid-murid menggunakan bahasa yang telah diketahuinya untuk mempelajari bahasa baru dari segi bunyi. Aktiviti dimulakan dengan latihan pendengaran yang kemudiannya diikuti oleh aktiviti menyebut. Pengajaran tatabahasa dilakukan mengikut pendekatan Induktif (Kamarudin Hj. Husin,1988).

Manakala teknik pengajaran pula adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Jika seseorang guru tidak dapat menguasai teknik-teknik yang terdapat dalam sesuatu kaedah, kemungkinan matlamat kaedah itu tidak akan berhasil. Terdapat pelbagai teknik yang boleh diamalkan oleh seoarang guru dalam sesi P&P. antaranya ialah:
• Teknik main peranan
• Teknik permainan bahasa
• Teknik latih tubi
• Teknik bercerita
• Teknik inkuiri
• Teknik perbahasan
• Teknik kuiz
• Teknik sumbangsaran
• Teknik soal jawab
• Teknik simulasi
• Teknik drama
• Teknik perbincangan

Bagi teknik perbincangan, ianya berbentuk perbualan dan dilakukan dalam kalangan pelajar di bawah penyeliaan dan kawalan guru. Teknik brainstorming ialah teknik yang berbentuk perbincangan yang mana pelajar digalakkan untuk berfikir secara kreatif dan aktif bagi menghuraikan pendapatnya. Seterusnya teknik soal jawab yang merupakan teknik yang kerap digunakan oleh guru. Ia mewujudkan interaksi antara guru dengan pelajar-pelajarnya. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru bertanyakan soalan dan pelajar akan menjawab soalan tersebut. Setiap soalan yang ditanya mempunyai aras kesukaran yang tertentu. Bagi teknik main peranan pula, ianya melibatkan gambaran-gambaran pelajar terhadap sesuatu situasi atau keadaan dan melakonkannya tanpa sebarang bantuan skrip. Hal ini berlaku secara spontan yang mana pelajar-pelajar perlu bijak dalam memainkan peranan mereka semasa sesi ini berlangsung.

Teknik bercerita pula membawa maksud guru memilih cerita yang sesuai dengan pelajar dan isi pengajaran yang hendak disampaikan. Guru bercerita dalam keadaan yang selesa dan berikan penekanan kepada aspek-aspek bahasa yang hendak diajarkan. Manakala teknik tunjuk cara sesuai digunakan terutama dalam proses pengajaran yang memerlukan pelajar bertutur dengan menggunakan ayat-ayat yang betul dan sempurna. Di samping menunjuk cara, pelajar-pelajar juga diminta untuk menerangkannya melalui bahasa yang baik. Sebelum pelajar menunjuk cara, guru perlulah menerangkan maksud tunjuk cara tersebut dan perkara-perkara yang harus dicakapkan. Seterusnya adalah teknik penyelesaian masalah di mana teknik ini dilaksanakan di bawah penyeliaan guru. Pelajar-pelajar diberi masalah dan cuba menyelesaikan masalah tersebut. Teknik latih tubi pula merupakan pengulangan fakta-fakta yang telah dipelajari. Tujuannya adalah untuk mencapai taraf penguasaan kemahiran tersebut dan di samping untuk menjamin pengekalannya. Teknik terakhir ialah teknik permainan bahasa iaitu guru membentuk satu situasi yang memerlukan pelajar menggunakan bahasa yang ada pada mereka untuk menyelesaikan tugas-tugas permainan yang diberi.

Rumusan : 
        Terdapat pelbagai kaedah, pendekatan, teknik serta strategi yang boleh diaplikasikan oleh guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Para guru seharusnya bijak menggunakan kemahiran mengajar berpandukan elemen-elemen tersebut untuk menarik minat pelajar untuk menimba ilmu pengetahuan seperti yang terdapat dalam sukatan pelajaran yang ditetapkan. Para guru juga seharusnya memainkan peranan penting dalam menyusun proforma atau rancangan pengajaran supaya setiap sukatan dipelajari oleh pelajar dengan jayanya. Hal ini bermakna para guru tidak seharusnya hanya mengajar bermatlamatkan untuk menghabiskan silibus semata tanpa menghiraukan hasil yang diterima pelajar. Seharusnya, sukatan pelajaran perlu dihabiskan seiring dengan pelajar dapat memahami dan menjadi pakar dalam setiap silibus yang telah dipelajari.
         Para guru juga seharusnya bijak mengawal atau mengetahui keadaan serta keperluan semasa pelajar agar proses pengajaran dan pembelajaran tidak akan dilaksanakan dalam keadaan bosan. Para guru seharusnya menggunakan kemudahan teknologi seperti pertunjukan video, atau memasang lagu diawal kelas dan penghujung kelas agar murid tidak merasa bosan dan supaya mereka berasa seronok. penggunaan alat teknologi ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar untuk berfikir lebih kreatif dan mengasah bakat mereka untuk berkarya lebih dinamik dan tidak terikat dengan teknik atau hasil yang sama. Kesimpulannya, para guru seharusnya mengaplikasikan setiap teknik, pendekatan, kaedah mahupun strategi yang terkini dan berkesan untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan demi mencapai matlamat  yang terkandung dalam dasar pendidikan negara.

Saturday 23 March 2013

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Falsafah Pendidikan Kebangsaan memainkan peranan yang penting untuk mencapai matlamat pendidikan negara. Usaha ini harus dilaksanakan oleh semua pihak termasuk golongan guru, kerajaan mahupun pelajar. terdapat beberapa cabang falsafah yang perlu diamati dalam pembentukan  FPK ini. 

Metafizik.

  • Bersifat realiti.
  • Melampaui hal fizikal dan kebendaan.
  • Persoalan-persoalan jauh melampaui yang boleh dijawab dengan merujuk kepada kaedah saintifik.
  • Bersifat spekulatif
  • Berfokus pada isu seperti hubungan sebab-akibat.
  • fikiran tentang matlamat pendidikan dan pemilihan kandungan.
  • mengemukakan soalan seperti adakah suatu bahan ilmu sejagat untuk dipelajari?

Epistemologi.

  • Berkaitan dengan sifat semula jadi ilmu.
  • Memberi rasional untuk memilih bahan yang layak untuk diajarkan dan dipelahari.
  • Cara maklumat harus diajarkan
  • FPK-usaha berterusan iaitu ilmu sentiasa berubah dan tiada ilmu yang mutlak.
  • Penyesuaian mengikut peredaran zaman - teknologi
  • Penekanan kepada pembelajaran sepanjang hayat.
  • Isunya adalah sama ada pengetahuan datang daripada wahyu, kuasa, intuisi, pancaindera atau daripada penakkulan atau eksperimen.
  • Membantu penyelesaian masalah.

Aksiologi.
  • Berkaitan dengan nilai seperti etika dan agama.
  • Fokus kepada pembinaan insan.
  • Penekanan kepada pembangunan sahsiah.
  • Sifat kelakuan yang betul.
  • Kepentingan pengajaran agama dan moral.

Logik.
  • Sains tentang pemikiran tepat dan berkaitan hubungan antara idea dengan prosedur.
  • Keperluan prosedur yang betul.
  • Membantu berkomunikasi dengan lebih baik.
  • Logik deduktif- umum kepada khusus
  • Logik Induktif- khusus kepada umum.
  • Pemupukan potensi diri.

Analisis kepada elemen-elemen FPK

Elemen-elemen FPK
Implikasi
Pendidikan suatu usaha berterusan
§ Pendidikan adalah suatu proses pemerolehan dan pemindahan ilmu, kemahiran dan nilai murni,

§ Proses pemerolehan dan pemindahan berlangsung secara berterusan bermula dari kecil sehingga ke akhir hayat,

§ Pendidikan awal kanak-kanak amat penting untuk membentuk asas sahsiah kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur antara satu hingga enam tahun,

§ Sahsiah yang dibentuk akan terus berkembang sepanjang tempoh persekolahan,

§ Setelah tamat persekolahan, setiap individu masih terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan akhlak mereka,

§ Proses pendidikan yang berterusan bagi membantu individu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan.
Perkembangan potensi individu
§ Setiap individu telah diberkati Tuhan dengan bakat dan potensi dan kebolehan yang mungkin terpendam,

§ Bakat, potensi dan kebolehan akan terjelma melalui interaksi sosial dengan orang lain dan alam sekeliling,

§ Pendidikan seharusny memberi peluang individu unbtuk berkembang bakat, potensi dan kebolehan mereka.
Perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu
§ Bakat, potensi dan kebolehan tidak boleh dikembangkan secara berasingan, sebaliknya dihubungkait atau diselaraskan bagi mengelakkan pertentangan antara satu sama lain,

§ Perkembangan dan peningkatan seelok-eloknya merangkumi empat aspek, iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Insan yang seimbang dan harmonis
§ Amat penting bagi individu memiliki ilmu(intelek), sahsiah yang baik(emosi), percaya kepada Tuhan serta mempunyai akhlak yang baik(rohani) dan kesihatan diri yang baik(jasmani)

§ Keseimbangan antara keempat-empat aspek di atas akan menghasilkan individu yang mampu hidup secara harmonis dengan diri dan orang lain,

§ Individu sedemikian memiliki ketahanan untuk menghadapi segala cabaran hidup serta sanggup berhadapan dengan apa jua masalah yang timbul.
Unsur intelek
§ Mempunyai kemahiran asa 3M: membaca, menulis dan mengira,
§ Sering berusaha untuk memperoleh dan mengembang ilmu yang benar,

§ Berkemahiran untuk berfikir secara kreatif, kritikal dan reflektif,

§ Sanggup untuk berkongsi ilmu dengan orang lain dan persekitaran(menyebarluaskan ilmu)
Unsur rohani
§ Menyedari dan percaya kepada Tuhan,

§ Bersyukur dengan pemberian Tuhan,

§ Berakhlak mulia dan berpegang kepada nilai-nilai murni.
Unsur emosi
§ Mempunyai emosi yang matang dan stabil,

§ Memiliki dan memupuk perasaan kasih sayang,

§ Mempunyai sifat kekitaan dan perpaduan.
Unsur jasmani
§ Menyedari tentang kepentingan kesihatan fizikal,

§ Mengembangkan bakat dan kemahiran teknikal, manipulatif dan sosial,

§ Menggunakan kemahiran kecergasan fizikal untuk memanfaatkan masyarakat.
Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan
§ Mengakui tentang kewujudan Tuhan,

§ Mengakui Tuhan sebagai Pencipta manusia dan alam,

§ Menyedari bahawa hukum dan fenomena alam merupakan peraturan yang ditetapkan oleh Tuhan,

§ Menyedari bahawa individu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala perbuatan dan tindakannya,

§ Mengamalkan segala ajaran agama yang dianuti
Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan
§ Cintai ilmu pengetahuan

§ Berusaha memupuk budaya ilmu dan budaya membaca,

§ Mempunyai fikiran yang luas dan terbuka
Rakyat Malaysia yang berketerampilan
§ Mempunyai kecekapan dan kompetensi diri,

§ Berkebolehan untuk menjalankan tugas dengan semprna,

§ Berpandangan jaun dan berinisiatif,

§ Memupuk pembawaan diri yang baik
Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia
§ Mempunyai perwatakan diri yang baik,

§ Berpegang kepada nilai-nilai murni dan moral sebagai prinsip hidup.
Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab
§ Boleh dipercayai

§ Menyedari bahawa setiap tugas dan tanggungjawab merupakan amanah dan harus dilaksanakan dengan baik

§ Menjalankan tugas dengan amanah, bersih dan cekap,

§ Mematuhi peraturan dan undang-undang negara,

§ Berusaha untuk meningkatkan diri, keluarga, masyrakat, agama, bangsa dan negara.
Rakyat Malaysia yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
§ Berfikiran waras dan berjiwa tenang,

§ Mempunyai daya ketahanan yang kuat untuk menghadapi cabaran hidup.
Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyrakat dan negara
§ Berusaha untuk memupuk perpaduan rakyat melalui sifat toleransi, bertimbang rasa, kekitaan, hormat-menghormati dan sebagainya,

§ Berusaha untuk memajukan ekonomi negara berdasarkan dasar-dasar yang ditetapkan,

§ Sering mengekalkan kestabilan politik dan keamanan negara,

§ Mematuhi perlembagaan dan peraturan negara,

§ Mempertahankan maruah diri, profesion, agama, bangsa dan negara.
Berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
§ Mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi,

§ Berkebolehan untuk mengharungi liku-liku hidup
Sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara
§ Menjadikan Rukunegara sebagai amalan hidup,

§ Memupuk kesefahaman keluarga,

§ Mematuhi norma masyarakat,

§ Cintakan negara.